Aku sebatang pen. Badanku diproses di sebuah kilang yang
besar lagi terkenal di Shah Alam, Selangor. Aku diproses oleh mesin-mesin yang
besar dan sama besarnya dengan lori kontena yang membawa rakan-rakanku yang
akan dieksport nanti.
Aku
diperbuat daripada campuran bahan seperti plastik. Panjangku sama panjang
dengan panjang pembaris yang berukuran lima belas sentimeter. Badanku keras
namun, mudah calar apabila aku dicampak ke lantai. Itu yang paling aku khuatir.
Ada satu lagi perkara yang aku lupa beritahu. Nama aku ialah Fiber Crystal 0.7.
Apa yang pasti, aku adalah produk tempatan, produk Malaysia. Jadi, kalau-kalau
ternampak kawan-kawan aku yang mempunyai nama seperti nama aku, jangan lupa
ambil sebatang dan masukkan ke dalam bakul kemudian, bayar di kaunter
pembayaran, ya!
Baiklah,
kembali semula kepada kisah tentang aku. Aku telah diletakkan di sebuah kedai
buku yang bernama Famous Bookstore. Kedai buku ini terletak di sebuah negeri
pantai barat yang bernama Selangor. Aku tidak pasti di daerah dan kawasan mana.
Suatu
hari, aku ternampak seorang remaja perempuan yang berusia hampir sama dengan
moyangku (kalau dia masih hiduplah). Dia membelek-belek pen yang letaknya
bersebelahan dengan tempat aku diletakkan namun, dia meletakkan pen yang
dibeleknya di tempat asalnya semula. Kemudian, dia membelek aku pula. Mungkin
dia tertarik dengan keunikan dan 'kekacakan' yang ada padaku. Hampanya aku, dia
meletakkan aku semula lalu mengambil semula pen yang dibeleknya tadi. Aku mahu
menangis tetapi perasaan untuk meluahkan tangisanku tidak dapat keluar kerana
aku tidak dapat menghasilkan air mata walaupun setitis. Bertambah hampalah aku.
Hari pertama aku di dalam kedai buku
berlalu begitu sahaja dengan kedukaan yang menimpa aku. Pasti perasaan yang
lebih teruk perlu ditanggung oleh pen-pen yang sudah buruk dan berhabuk yang
juga terdapat di situ. Kasihan mereka. Apa-apa pun padan muka mereka, sudahlah
reka bentuk badan mereka tidak sasa, buruk! Allah. Aku pun mungkin akan
menerima nasib yang sama. Padan juga dengan muka aku. Padan muka kau, Fiber
Crystal 0.7!
Sudah
seminggu aku di situ! Nasib baik kedai buku itu siap berpenghawa dingin. Kalau
tidak, pasti aku akan berpeluh-peluh sewaktu aku berusaha menghasilkan air
mata. Bagaimana dengan nasib aku pada masa akan datang. Aku harap aku tidak
pernah dilahirkan sebagai sebatang pen. Memang perit rasanya. Tolonglah.
Pada
hari yang bertarikh 3 Jun, kedai buku tempat aku dijual telah didatangi oleh
seorang pelajar sekolah menengah yang kacak. Aku lihat nama pada tag namanya,
'Khai'. Tiba-tiba tangan kanan Khai menuju ke arah aku dengan pantas. Tidak
boleh aku mengelak kerana aku sendiri tidak boleh menggerakkan badanku lalu aku
sudah berada di dalam genggaman tangan kanannya. Tidak sampai seminit badanku
telah dibalut dengan reben dan aku dimasukkan ke dalam beg plastik kecil
bersama-sama dengan dua biji lolipop Chup Chup Sedap.
Akhirnya,
aku tiba di rumah baharu aku. Rumah baharu aku agak panas kerana tidak ada
penghawa dingin. Nasib baik aku tidak boleh berpeluh. Apa pun, aku agak
bersyukur kerana laku juga aku, ada juga manusia yang mahu membeli aku.
Bersyukur aku pada malam itu. Ya, ya! Ya!
Keesokan
harinya, Khai membawa aku dan lolipop-lolipop yang dibelinya ke suatu tempat
yang amat cantik. Aku terlihat satu papan tanda. Papan tanda itu bertulis
'KFC'. KFC itu tempat apa? Kemudian, apabila Khai membawa aku ke dalam tempat
tersebut baharulah aku tahu, tempat itu adalah tempat yang menjadi kegemaran
manusia. Restoran makanan segera rupa-rupanya. Aku tidak dapat menghidu
bagaimana baunya di dalam tempat tersebut tetapi aku dapat melihat Khai menarik
nafas dalam-dalam sambil menjilat bibirnya. Seronoknya menjadi manusia.
Tiba-tiba
aku diambil keluar daripada beg plastik tempat aku dan lolipop-lolipop
diletakkan. Kemudian, aku diserahkan kepada seorang budak perempuan bertudung
merah jambu yang agak comel. Budak perempuan itu mengucapkan, "Terima
kasih, Khai!" apabila Khai menghulurkan aku sambil mengucapkan padanya,
"Selamat Hari Jadi, Acha!" Kini aku sudah bertukar tuan. Maaf, maksud
aku 'puan'.
Aku
lihat Acha asyik tersenyum-senyum pada Khai. Naik meluat aku tengok. Kemudian,
aku nampak Khai menghulurkan sebatang lolipop kepada Acha. Maka, senyuman Acha
makin melebar. Aku hampir menangis melihat kemesraan mereka. Aduh, aku masih
lagi belum berjaya menangis!
Tiba-tiba
aku jatuh ke atas lantai bersama-sama dengan sehelai tisu muka. Aku jadi panik.
Mengapa tiba-tiba sahaja? Aduh, aku hanya dapat merasakan aku terjatuh tetapi
tidak pula aku terasa sakit-sakit pada badanku. Syukur. Acha tidak sedar yang
dia sudah tercicirkan aku. Aku menjadi semakin panik. Aku hanya melihat Khai
dan Acha menikmati ayam goreng cecah sos Life. Amboi. Aku pun mahu ayam goreng
juga. Secubit pun jadilah. Sedihnya.
Kemudian,
mereka berdiri dan bunyi ketawa mereka kedengaran. Panik aku datang kembali
menggantikan rasa sedih yang hilang tadi. Tunggu aku! Mereka akhirnya sirna
daripada situ. Mereka sudah berlalu pergi sambil menghisap lolipop Chup Chup
Sedap. Akhirnya, aku mengambil keputusan ini dengan menuliskan kisah ini pada
tisu yang aku dapati bukan sehelai, tetapi hampir sekotak. Aku pun tulislah
dengan perasaan yang pada waktu itu sudah seperti seorang manusia yang baharu
putus cinta. Pilu betul.
Ini
adalah kisah aku yang terakhir sebelum aku dipijak. Aku katakan ini apabila
tiba-tiba sahaja ada seorang kanak-kanak lelaki berlari ke arahku. Selamat
tinggal dunia.
baik
ReplyDeletecontoh karangan ini berguna untuk saya.
ReplyDeletebagus.
ReplyDelete